Kenapa Belajar Pembangunan Aplikasi Web (Why Learn Web Development)

Kenapa Belajar Pembangunan Aplikasi Web (Why Learn Web Development)
Photo by Ben Kolde / Unsplash

Mungkin anda sekarang sedang berfikir-fikir untuk cuba menceburi bidang pembangunan aplikasi web atau web development. Mungkin juga anda sekarang sedang mencari perkara baru untuk anda pelajari dan seterusnya memiliki kerjaya dalam pembangunan web. Tidak dinafikan, bidang pembangunan web memang bidang yang menarik untuk diceburi.
Saya sendiri berhasrat untuk bertukar bidang daripada jurutera IT biasa kepada pembangun web. Mari kita tengok antara sebab-sebab kenapa nak belajar pembangunan web ini.

Peluang Kerjaya Yang Meluas

Untuk pengetahuan anda, pembangunan web(web development) merupakan antara bidang yang paling pesat berkembang berbanding bidang-bidang yang lain. Menurut statistik, dijangkakan bidang pembangunan web mempunyai perkembangan sebanyak 13 peratus dari tahun 2020 ke tahun 2030. Tidak hairanlah bidang ini tidak pernah ketandusan peluang pekerjaan sehingga kini dan tahun-tahun mendatang dan menjadi rebutan ramai orang yang ingin bekerja dalam bidang teknologi.

Sumber Pendapatan Yang Agak Lumayan

Siapa sahaja yang bekerja pasti mahukan pendapatan yang tinggi lebih-lebih lagi dengan keadaan kenaikan harga yang tidak menentu sekarang. Di Malaysia, statistik menunjukkan pembangun web yang baru mampu memperolehi pendapatan kasar sebanyak RM2,500 sebulan. Pendapatan akan meningkat setara dengan pengalaman seseorang pembangun web. Bagi pembangun web yang mempunyai pengalaman dari 5 hingga 9 tahun, mereka pula boleh bergaji sebanyak RM4,700 dan keatas. Seterusnya, jika seseorang pembangun web itu mempunyai pengalaman 10 tahun ke atas, mereka dianggarkan menerima gaji bulanan sebanyak RM6,200 dan ke atas. Pengalaman bertambah, gaji pun bertambah.

Boleh Bekerja Dimana-mana Sahaja

Nak bekerja dari rumah? Nak bekerja ditepi pantai? Nak bekerja di kedai kopi berinternet? Semua boleh. Kerjaya dalam pembangunan web memang memberikan kemudahan untuk bekerja dimana sahaja yang anda mahukan. Anda hanya perlukan talian Internet dan sebuah komputer riba atau laptop. Di zaman pandemik ini, semua industri terkesan. Pembangun web boleh bekerja dalam talian tanpa perlu berhadapan dengan orang atau pergi ke pejabat.

Kesimpulan

Memilih sesebuah kerjaya bukan sesuatu yang mudah. Ini hanyalah sebahagian sebab-sebab kenapa perlu belajar pembangunan aplikasi web atau web development. Semoga dapat membantu anda.

Terima Kasih.

Oh ya, ini merupakan artikel pertama saya. Sokonglah dengan mengikuti saya untuk pelbagai artikel menarik berkaitan teknologi pembangunan web.